Pupuk, mantapkan hubungan kejiranan
December 20, 2008
PERUMAHAN DATO’ SHAHBANDAR - Keamanan dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan kekuatan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya.
Naib Ketua Blok 6, Mohd Ramli Abu Bakar berkata, hubungan kejiranan yang erat dapat mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.
Menurutnya, ia bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman bahkan menjadi elemen penting dalam usaha membangun dan memajukan negara.
“Hubungan kejiranan bukan sahaja digalakkan malah agama Islam turut menekankan kepentingan menjalinkan hubungan erat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira pegangan agama, status, bahasa dan perbezaan lain.
“Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu cara hidup Islam dan kita diwajibkan untuk mengekalkan hubungan kejiranan yang terbentuk dalam sesebuah komuniti,” katanya.
Ramli berkata, setiap individu yang menjadi anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam mewujudkan satu kehidupan setempat yang harmoni dan saling bantu-membantu.
“Tahap keselamatan sesebuah kawasan turut dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui kerjasama dan hubungan baik antara jiran di samping bersama-sama mengawasi perlakuan jenayah yang menggugat keharmonian sesebuah masyarakat,” katanya.
Menurutnya, bagi menjayakan usaha itu, nilai murni seperti bertolak ansur, bekerjasama dan saling bantu-membantu menjadi inti pati terpenting yang perlu dicapai bersama.
“Permuafakatan yang terbina akan membawa kepada satu corak budaya yang diingini dan mengelakkan individu bersikap pentingkan diri serta mudah berbalah jika mempunyai pendapat yang bercanggah.
“Malah masalah yang berlaku dalam masyarakat seharusnya ditangani bersama dan setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju dan kerukunan komuniti.
“Program yang memerlukan kerjasama seperti gotong-royong, kenduri serta sebarang sambutan hari kebesaran yang dilakukan akan terasa lebih ringan jika setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing,” kata Ramli.
Beliau berkata, hubungan kejiranan perlu dipupuk bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini khususnya dalam masyarakat moden yang tidak lagi mementingkan hubungan kejiranan. - Sinar Harian

