Pemandu mati lemas kereta masuk paya
December 16, 2008
Seorang pemandu kereta mati lemas selepas kenderaannya terhumban ke dalam sebuah paya di Kilometer 22, Jalan Nenasi-Rompin di Pekan hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahya Othman berkata, Muslam Sukarno, 38, dari Galing di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika Muslam dalam perjalanan dari arah Rompin menuju ke Pekan, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Muslam dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam paya terbabit.
Mayat Muslam dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. - Bernama

