Pelajar Orang Asli berpotensi

December 20, 2008

Corak dan mutu pendidikan diterima pelajar Orang Asli kini lebih baik dan kesedaran mereka mengenai kepentingan ilmu bagi mengubah taraf kehidupan mereka juga semakin meningkat.

Kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan, Mohd Husin, berkata pelajar Orang Asli juga mempunyai kelebihan yang sama seperti pelajar lain dan ia dapat dilihat melalui pencapaian cemerlang yang berterusan dalam keputusan peperiksaan.

Menurutnya, pemikiran masyarakat Orang Asli kini lebih terbuka dan ibu bapa memberi kerjasama bagi memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang baik dan mampu mengubah masa depan mereka.

“Ibu bapa mereka memberi kerjasama yang baik dan sanggup datang dari jauh apabila dihubungi pihak sekolah dan ia memudahkan urusan pihak sekolah selain menaikkan semangat pelajar melalui keprihatinan ibu bapa mereka.

“Ramai pelajar masyarakat Orang Asli yang menetap di asrama sekolah ini datang dari kawasan perkampungan Orang Asli yang jauh seperti dari Api Larat, Runcang, Tasik Chini malah ada dari Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sempena program kecemerlangan pelajar Orang Asli SMK Pekan anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini semalam.

Program yang diadakan di dewan MUIP tersebut, disertai 130 orang pelajar Orang Asli dan pelbagai slot diadakan bagi memantapkan pengukuhan ilmu di kalangan pelajar Orang Asli.

Katanya, walaupun mereka datang dari jauh namun semangat serta keazaman untuk mengubah nasib keluarga serta keterbukaan keluarga melepaskan anak-anak menimba ilmu menjadikan mereka lebih tabah dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran.

Menurutnya, sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar ini berjalan lancar kerana mereka mudah menerima pelajaran dan kurang bermasalah dari sudut disiplin dan mudah mendengar kata.

Mohd, berkata melalui program kecemerlangan seperti ini, ia secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan memberi kesedaran terhadap pelajar masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan ilmu yang akan mengubah nasib mereka dan keluarga.

“Melalui program motivasi ini, pelajar diharapkan dapat memulihkan semangat dan kesedihan kerana berjauhan keluarga dan menanam keazaman tinggi untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran,” katanya.

Sinar Harian