Kapal Nelayan Moden Bantu Nelayan Di Rompin, Pekan
December 16, 2008
Oleh Mohd Faizal Hassan
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama)– Dalam kalangan nelayan tradisional, tidak ramai yang memiliki bot modern berkuasa tinggi yang boleh membawa mereka jauh menangkap ikan di luar pesisir.
Mereka akan memulakan rutin harian belayar ke laut menaiki bot kayu yang selalunya sudah goyah dan usang dimakan hari, dan hanya pulang tatkala senja dengan hasil tangkapan mereka .
Jumlah tangkapan biasanya sedikit kerana jarak kawasan yang ditempuh tidak luas maka sukar bagi mereka untuk meraih pendapatan yang banyak.
Sekali ke laut, mereka akan terdedah kepada segala kemungkinan bahaya kerana tidak mempunyai peralatan moden untuk memandu mereka, umpamanya radar dan global positioning system (GPS).
Perhubungan juga terhad sekadar melambaikan tangan kepada nelayan lain yang melintas atau menyalakan lampu untuk membuktikan kehadiran mereka di tengah lautan itu.
Tetapi segalanya diharap berubah bagi golongan nelayan ini khasnya di kawasan Rompin dan Pekan, Pahang apabila mereka akan dapat belayar dengan kapal menangkap ikan serba moden dan dilengkapi dengan peralatan canggih.
Bot generasi baru ini dijangka membantu nelayan mendapatkan hasil tangkapan yang lebih banyak selain menjamin keselamatan di laut.
Empat buah kapal sudah siap dibina dengan kos membabitkan RM12 juta dalam tempoh enam bulan bermula Mac tahun ini.
Ia siap dilancarkan ke dalam air bagi tujuan pemeriksaan, ujian dan pandu uji bermula 30 Ogos lalu.
Kapal ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi, kabin tidur berhawa dingin, jaket keselamatan, peti sejuk, set televisyen dan lain-lain.
Bagi kemudahan tangkapan ikan, ia turut dilengkapi dengan kompas,set radio untuk berhubung dengan kapal lain, pukat tunda, jaring, kawasan penyimpanan ikan yang besar dan sebagainya.
KOPERASI PEMBANGUNAN RAKYAT PAHANG
Menurut Pengerusi Koperasi Pembangunan Rakyat Pahang Berhad Mohamed Suffian Awang, pertubuhan itu merencanakan pembinaan kapal itu di bawah program ‘Transformasi Nelayan ke Arah Pembasmian Kemiskinan Nelayan melalui Koperasi’.
Katanya matlamat program ini ialah untuk membantu nelayan yang meraih pendapatan di bawah RM660 sebulan untuk meningkatkan perolehan ikan dan pendpatan mereka.
“Mereka hanya perlu menjadi anggota koperasi dan sama-sama terlibat dalam usaha kami menambah tangkapan ikan yang turut boleh menjana pendapatan anggota koperasi,” katanya kepada Bernama.
Koperasi itu ditubuhkan pada 1 Jun tahun lalu dengan keanggotaan seramai 500 orang nelayan dari Rompin dan Pekan yang menjalankan aktiviti bagi industri perikanan laut dalam dan industri hiliran.
PERANCANGAN MASA DEPAN KOPERASI DEMI NELAYAN
Mohamed Suffian berkata koperasi itu bercadang membina empat lagi kapal bagi merancakkan industri penangkapan ikan di Pahang.
Suffian berkata apabila lebih banyak ikan dinaikkan, nelayan dan masyarakat tempatan dijangka dapat memanfaatkan hasil tangkapan itu untuk dijadikan bekalan dan sumber pendapatan sampingan mereka.
Katanya industri hiliran yang menjadi periuk nasi nelayan itu adalah penting kerana boleh digunakan pada musim tengkujuh apabila nelayan tidak turun ke laut.
“Bila sudah ada simpanan yang banyak, ia boleh digunakan untuk dijadikan keropok, kek ikan dan bebola ikan yang boleh dijual kepada umum.
“Secara tidak langsung kami dapat menarik minat lebih ramai golongan Bumiputera menyertai koperasi dan menjadi nelayan serta usahawan berjaya,”katanya.
Beliau berkata koperasi mensasarkan pulangan menerusi dana yang dikumpulkan sebanyak RM1.8 juta setahun hasil kegiatan perikanan.
“Bila ada dana, mudahlah nelayan untuk membuat pinjaman dan menaik taraf kehidupan keluarga mereka,” katanya.
NELAYAN DAN ‘ISTERI KEDUA MEREKA’
Rata-rata nelayan yang ditemui berpendapat kapal baru mereka ini mampu membantu mereka mendapatkan hasil yang lebih lumayan dengan kerjasama koperasi, kerajaan dan lain-lain.
Saufi Ali, 47 dari Pekan berkata kapal ini akan menjadi “isteri kedua” mereka, mencari rezeki di perairan.
Nelayan yang mahu dikenali sebagai Pak Mat, 66, dari Rompin pula berkata di kapal inilah beliau bergantung harapan untuk meraih pendapatan yang lebih melalui rezeki hasil tangkapan ikan.
TEKNOLOGI MODEN PENTING
Kontraktor pembinaan, Nor Azhar Wan Mustapha yang merupakan Pengarah Eksekutif WMA Resources Sdn Bhd berkata negara ini ketinggalan 10 tahun dengan Thailand dalam teknologi kapal menangkap ikan.
Katanya negara terpaksa mengimport teknologi menangkap ikan menggunakan pukat tunda dari negara itu kerana kurangnya pengetahuan dan teknologi moden di Malaysia.
Bagaimanapun beberapa institusi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sedang giat melahirkan anak tempatan yang mampu membina kapal nelayan sendiri.
“Kami mengimport tenaga kerja dari China kerana mereka mempunyai kepakaran dalam membina dan menyusun struktur kapal nelayan ini.
“Kapal ini dibina di UniKL supaya pelajarnya menimba pengalaman dalam membina kapal nelayan seterusnya mengurangkan kadar pengimportan tenaga luar,” katanya.
Pada 4 Nov lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar melancarkan empat buah kapal itu yang dibina khas oleh WMA Resources Sdn Bhd.
BERNAMA

